
Saya berbual mengenai cerita-cerita lama dengan Kak Halimaton.
“Masa sekolah dulu ada tak kawan-kawan ejek kalau diberitahu kakak orang Kerinchi,” Tanya saya. “Ada… tu lah sebabnya malu hendak mengaku kita keturunan kerinchi”, jawab Kak Halimaton.
“Ohh… samalah macam saya. Bila saya mengaku saya keturunan kerinchi, kawan-kawan semua ketawakan saya… mereka kata saya ada ekor. Bila saya jawab mana ada ekor… mereka kata, "Ya… keturunan kamu ada ekor, Semenjak hari itu, saya pun malu hendak memperkenalkan saya orang Kerinchi” cerita saya.
Berbalik pasal apa yang saya dapat daripada menghadiri Mesyuarat Persatuan Anak Kerinchi Hulu Selangor. Alhamdulillah saya rasa barulah terbuka sedikit fikiran saya, betapa pentingnya menjaga maruah keturunan kita.
“Buat apa saya hendak malu dengan keturunan saya… sebenarnya orang Kerinchi adalah satu bangsa yang berjaya suatu masa dahulu. Kegigihan nenek moyang kita maka wujudlah tempat-tempat yang dikenali Kampung Kerinci, Kampung Abdullah Hukum, Hulu Langat dan banyak lagi, Sesungguhnya segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjungi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang nenek moyang kita terdahulu.” detik hati saya.
Insya-Allah mulai hari ini saya akan cuba mengumpul sebanyak mungkin maklumat mengenai Kerinchi… dan hendak selidik juga kenapa dikatakan orang kerinchi ini ada ekor.
*Kisah Benar
Seorang pembaca telah menghantar yahoo messenger kat saya, "kenapa kamu direct sangat cakap pasal Kerinchi?" "Kenapa?" saya bertanya pula? "Tidak malu ke... nanti orang kata bukan-bukan. Kami di sini pun kalau ada kenduri kendara malu nak mengaku orang kerinchi sebab nanti akan diketawakan orang," katanya lagi. "Oh macam tu ke?" "Sebenarnya asalnya saya memang malu juga.... tetapi entah kenapa saya rasa sudah tiba masanya kita kena berani kedepan untuk menyangkal anggapan buruk tentang orang kerinchi", jawab saya lagi.