Sunday, January 24, 2010

Hari Keluarga Othman 1.1.10

Alhamdulillah... syukur sangat sebab Hari Keluarga yang sentiasa dinanti-nanti oleh Keluarga Otaman akhirnya terlaksana sudah. Bukan sengaja hendak memilih tarikh yang cantik ini... 1.1.10. Sebenarnya secara kebetulan sahaja. Kalau diikutkan... ini adalah perjumpaan untuk tahun 2009. Setelah ditunda dari hari ke hari akhirnya masing-masing bersetuju melapang masa untuk hadir Hari Keluarga pada tarikh tersebut.
Tempat yang menjadi pilihan kali ini adalah sebuah resort yang terletak di Kampung Sg Kalong di Ulu Yam iaitu UK Resort. Resort yang terletak lebih kurang 40 kilometer dari pusat bandaraya atau lebih kurang 45 minit perjalanan mungkin kurang diketahui melainkan mereka yang biasa dengan Ulu Yam. Lokasinya agak tersorok dan jauh dari resort-resort lain yang boleh dilihat sepanjang perjalanan dari Sungai Tua hingga ke pekan Ulu Yam. Jika mahu ke resort ini , anda perlu melalui Jalan Sungai Tua untuk sampai ke pekan koboi Ulu Yam.


Sebelum bermula Hari Keluarga... Mak Teh telah booking tempat ini terlebih dahulu. Oleh kerana itu... ketibaan kami di sini semuanya berjalan dengan lancar. Tempat ini adalah hak milik persendirian seorang pesara. Rupa-rupanya Pak Su memang kenal sangat dengan pemilik resort ini kerana suatu masa dahulu beliau merupakan bekas guru besar tempat Pak Su mengajar dahulu.


Wah! Bestnya sesekali menikmati suasana kampung yang jauh dari kesibukan kota. Sungainya yang sederhana dalam dan tidak membimbangkan jika kanak-kanak bermain di dalamnya. Bermandi-manda ketika cuaca yang sangat hangat sungguh menyegarkan kerana air sungainya sangat sejuk. Tambahan pula persekitarannya yang terselindung dari bahang mentari, memang menjadi satu nikmat dan ketenangan yang sungguh luar biasa.





Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah 7 unit chaler, tapak perkhemahan, dewan, surau, tandas dan bilik persalinan. Alhamdulillah oleh kerana telah booking awal, kami telah mendapat keizinan menjalankan aktiviti Hari Keluarga Othaman di dalam surau tanpa sebarang bayaran. Hanya chalet sahaja dikenakan bayaran. Oleh kerana kehadiran menggalakkan… khemah juga telah disewa dengan kadar harga RM30 satu khemah.
Tempat ber-bbq juga turut disediakan. Terima kasih kepada Yan sekeluarga kerana telah bersusah payah menyediakan ayam, ikan dan udang yang sangat enak sekali untuk hidangan malam itu.


Seperti biasa antara acara yang wajib ialah solat berjemaah apabila masuk waktunya.


Sementara menunggu makanan siap... bermulalah acara pertama untuk remaja.


Setelah dibahagikan kepada empat kumpulan... setiap kumpulan hendaklah berjumpa dengan setiap ketua keluarga untuk mengetahui salasilah Keluarga Othman.



Menikmati hidangan yang disediakan.


Berkenal-kenalan sudah, solat sudah, acara remaja sudah dan makan-makan pun sudah. Kini tiba masanya untuk mengetahui keputusan kumpulan mana yang berjaya. Alhamdulillah... nampaknya semua peserta yang terlibat telah bekerjasama dan dapat menyelesaikan kerja yang telah diberi. Tahniah kepada anak-anak muda semua.


Tibalah masanya untuk melelapkan mata. Oleh kerana hujan turun dengan lebatnya... khemah yang dipasang terpaksa dibawa ke dalam surau agar mendapat keselesaan untuk tidur. Pada malam itu juga, anak Mak Jang yang bernama Adam dari Langkawi , Kedah... baru sampai di UK Resort, sebagai mewakili keluarganya yang tidak dapat hadir. Ini disebabkan di Kedah sekolah bermula pada hari Ahad (esok hari).


Keesokkan harinya... oleh kerana bahan bbq masih banyak berlebihan dan masih elok... kerja membakar bbq diteruskan. Sekali lagi semua keluarga berkumpul untuk memulakan acara sukaneka.


`Memakai baju pahlawan daripada suratkhabar' merupakan acara berkumpulan remaja.



Gambar di atas... barisan pahlawan dengan persalinan yang sungguh bergaya.... memang nampak gagah dan segak. Gambar di bawah adalah kumpulah yang berjaya mendapat tempat pertama. Tahniah!


Sekarang acara dewasa pula. Antaranya acara tetap iaitu bowling padang.


Ahli keluarga wanita juga tidak ketinggalan untuk menyertai acara yang disediakan.


Tidak dilupakan acara kanak-kanak. Alhamdulillah masing-masing telah memberi kerjasama yang baik sekali. Suasana sungguh meriah dengan gelak ketawa dan usik mengusik sekadar gurau senda telah menghiasi dan menghidupkan suasana sukaneka ini.


Tiba masanya untuk penyampaian hadiah kepada yang berjaya. Terlebih dahulu ketua Keluarga Othman telah dijemput ke hadapan untuk diraikan.


Boleh dikatakan semua ahli keluarga telah menerima hadiah. Sebelum menutup majlis Adam anak kepada Mak Jang telah dipanggil untuk memberi ucapan dan menyampaikan pesanan daripada ibunya yang tidak dapat hadir. Hajjah Sohana yang baru pulang daripada tanah suci dari mengerjakan haji telah diberi kesempatan berucap dan menceritakan pengalaman beliau ketika menunaikan fardu haji.

Sebelum bersurai.... adalah acara bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan. Rupa-rupanya ramai yang sudah terjun kesungai untuk bermanda manda sebelum pulang sehingga lupa adanya acara bergambar beramai-ramai.

Senyum semuaa........ satu.... dua.... tiga... KLIK!

Friday, January 22, 2010

Sekitar Perkahwinan Anak Perempuan Pak Ngah Hamzah








Wednesday, January 20, 2010

Tuliskan Pengalaman Itu, Demi Anak-anakmu!

Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku best seller, AKU TERIMA NIKAHNYA, ketika di Pesta Buku Antarabangsa 2009.

Antara tulisan beliau yang benar-benar telah menarik perhatian saya untuk terus berblog dan menulis tentang Keluarga Othman.
"Semua itu tinggal kenangan. Satu demi satu hilang dari kehidupan.Abah kembali kepada Allah ketika saya masih terlalu muda dan mentah. Masih banyak yang belum sempat abah cerita, masih banyak yang belum sempat saya tanya.
Kerana itulah saya gigihkan diri merakam episod perjalanan hidup di blog saifulislam.com, di Majalah ANIS dan di mana sahaja ada ruang dan peluang, agar anak-anak saya tidak sedih seperti saya. Sedih kerana bayangan abah semakin kabur di ingatan, selepas satu demi satu nilai kehidupan, diubah oleh perjalanan masa dan persekitaran.Tuliskan Pengalaman Itu, Demi Anak-anakmu!"
Petikan Majalah ANIS.

Friday, November 20, 2009

Di Deyhet

Kesempatan balik kampung pada raya yang lalu, saya,suami dan anak-anak telah ke Kampung Sungai Damar,Kuala Kubu Baharu,Hulu Selangor. Keluarga Othman memanggil tempat ini 'deyhet'.
Kali terakhir ke sini.... rumah ini masih megah berdiri walahpun sudah seabad usianya dan terbiar berpuluh-puluh tahun.

Kini sudah tiada... kerana telah dirobohkan. Yang tinggal hanya kesan tapak rumah. Papan-papan rumah tersebut telah dikumpulkan disatu tempat..untuk mengelak daripada terpijak paku.

Antara barang antik yang masih tinggal ialah lesung. Suatu masa dulu lesung ini digunakan untuk menumbuk padi dan beras.


Apabila sudah dirobohkan kelihatan kecil je tapak rumah pusaka ini. Sedangkan ketika kecil dahulu saya terasa rumah arwah datuk ini sangat besar dan luas. Terutama ruang tamu, ruang tengah dan dapur. Kemudian mempunyai dua bilik.


Menurut kata arwah katil ini kepunyaan Pak Long. Mesih kukuh lagi dan sangat berat. Oleh kerana sudah melekat kuat dan susah untuk ditanggalkan, tiada siapa mampu memgambilnya.

Nostalgia

Ini adalah sebahagian daripada rumah arwah datuk. Bahagian lain mungkin telah diguna pakai papannya sebab papannya masih elok (pernah diganti dengan papan baru) dibanding di bahagian hadapan rumah. Yang tinggal hanya rumah di bahagian tamu sahaja.


Di bawah rumah tu... tempat arwah datuk jemur getah keping. Di situ juga tempat saya adik beradik bermain. Jika duduk di bawah rumah, saya terasa rumah datuk tersangatlah tinggi.


Setelah sekian lama ditinggalkan... kemudian datang kembali ketempat ini... Semuanya sudah berubah sebab sekarang rumah tersebut sudah setinggi saya pula dan saya sudah boleh mencapai lantai bawah rumah itu.


Tempat jatuh lagikan dikenang.... ya memang benar kerana di tangga yang tinggi inilah di suatu masa dulu saya pernah jatuh terguling dari anak tangga atas sehinggalah ke anak tangga batu di bahagian bawah. Kesan jatuh masih lagi berbekas dimana tengkorak kepala saya telah retak dek terkena bucu anak tangga tersebut. Alhamdulillah... tidak mendatangkan masalah kepada diri saya dan yang penting sekali akal fikiran tetap waras hingga kini. Bersyukurlah...

Suatu masa dahulu, di tingkap ini tempat menjadi kegemaraan kedua-dua arwah. Di tingkap disebelah kiri tempat arwah datuk duduk dan di tingkap sebelah kanan tempat arwah nenek duduk bersembang sesama mereka. Jika dari luar kelihatan kepala mereka sahaja.

Masih saya ingat... pada tahun 1973 bapak sudah berhenti kerja menjadi askar British dan kembali semula ke Malaysia. Bapak telah menyewa rumah bersebelah dengan rumah arwah datuk ini. Oleh kerana itu... jika bapak tiada di rumah... arwah nenek dan datuklah yang akan pantau kami dari tingkap ini.

Inilah antara wajah ibu-ibu yang pernah berjasa dalam hidup saya.... Mak Lang, Mak Andak dan Mak Jang.



Rupa ruang tamu yang telah ditinggalkan... Inilah sudut menjadi kegemaraan arwah datuk suatu masa dahulu. Oleh kerana itu saya adik beradik tidak berani hendak usik barang kepunyaan arwah di sekitar tempat ini. Tak tau la... cam mana pula katil ni ada di ruang tamu.

Suatu ketika dahulu, saya pernah tangkap gambar di sudut ini. Di belakang dari kiri gambar Kak Teh, Su, Mak Su dan Mak Teh. Depan gambar saya dan Kak Ani.

Belakang sekali gambar Pak Cik So'od dan Noji. Tengah gambar anak buah arwah datuk, Mak Su dan Saya. Duduk gambar Ani dan Zura.

Inilah pandangan dari dalam ruang tamu... ditingkap disebelah kiri tempat arwah nenek selalu duduk dan tingkap sebelah kanan tempat arwah datuk. Jika arwah nenek selesai kerja pasti akan duduk di tepi tingkap ini sambil bersembang dengan arwah datuk....



Suatu masa dahulu... rak ini dipenuhi dengan buku-buku.


Antara bahagian yang ditebuk anai-anai.

Bergambar dijalan menuju ke rumah datok...Zura, Ani, Yan dan saya sedang mendukung Noji...

Gambar Yan, Zura, Ani, Kak Long Shafizah, Noji dan dibelakang mereka saya la... Gambar ini diambil pada tahun 1982, ketika itu saya menuntut di tingkatan enam. Ketika ini saya sekeluarga tidak lagi duduk disini sebab sudah berpindah ke Jalan Padang Tembak, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.

Semua itu tinggal kenangan... semakin kabur di ingatan dan satu demi satu hilang dari kehidupan ditelan oleh perjalanan masa dan zaman. Masih banyak persoalan yang belum sempat saya tanya. Namun yang telah pergi tetap akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Semoga mereka sentiasa aman dan damai di dalam sana. Al Fatihah.