Saturday, June 20, 2009

Kisah Dongeng?

Gambar kenang-kenangan Mak Jang bersama anak dan arwah sumainya serta arwah nenek.

Tersebutlah kisah kononnya pada zaman dahulu, di Tanah Sumetara ada tujuk orang adik beradik.
Lima orang daripada adik beradik itu telah merantau ke Tanah Melayu.
Dikatakan berasal daripada lima adik-beradik itulah orang Kerinchi di Tanah Melayu ini telah berkembang.
Manakala dua beradik lagi tinggal di Sumatera. Seorang di Kerinci dan seorang lagi di Palembang. Si Abang bernama Sulaiman telah menjadi raja di Kerinci. Manakala si Adik yang tinggal di Palembang hanya menjadi pembesar di Negeri Palembang. Apabila si Adik mendapat tahu si Abang menjadi raja timbullah rasa cemburu si Adik terhadap si Abang.
Ketika si Adik menziarahinya di Kerinci… si Abang telah dapat rasakan perasaan tidak puas hati si Adik terhadap dirinya. Lalu si Abang telah berpesan kepada si Adik; “Kalau kamu balik ke Palembang dan mahu ke sini lagi, bawakan lemang ke sini (Kerinci).”
Sekembali ke Palembang si Adik telah menyampaikan segala hasrat abangnya itu. Isteri si Adik sudah dapat rasakan bahawa suaminya ada niat tidak baik terhadap abang kandungnya sendiri. Lalu diambil keris dan dimasukkan ke dalam buluh lemang.
Ketika ke Kerinci, si adik telah membawa keris yang dimasukkan buluh dianggap lemang untuk diserahkan kepada abangnya.
Ketika hendak menyerahkan lemang tersebut… si Adik telah mencabut keris dalam buluh lalu dipotong kepala abangnya sehingga putus.
Hairan dan pelik sekali kerana walaupun dalam keadaan kepala terputus… si Abang masih boleh hidup lagi. Dalam keadaan sedemikian … isteri si abang telah memasukkan makanan ke dalam saluran makan suaminya apabila tiba waktu makan dan minum. Begitu lah setiap hari.
Suatu hari, si abang telah berkata dengan isterinya….
“Aku ni telah banyak menyusahkan hidup kamu. Kalau kamu nak bagi aku makan lagi, berikan aku makan buah pauh dan masukkan ke dalam saluran makan aku.”
Si isteri pun carilah buah pauh … dan dimasukkan ke dalam saluran makan suaminya seperti mana yang disuruh. Setelah dimasukkan buah pauh ke dalam saluran makan suaminya… tamatlah riwayat hidup suaminya.
Sebelum meninggal dunia, Raja Kerinci itu telah bersumpah bahawa tujuh keturunannya tidak boleh makan buah pauh.

Dikatakan nenek saya yang berasal daripada suku Kerinchi Sulaiman ini, merupakan keturunan yang ke tujuh dan keturunan yang akhir sekali tidak boleh makan buah pauh. Benar atau tidak cerita ini saya pun tidak pasti…. Tetapi kisah ini telah diceritakan oleh arwah nenek kepada bapak saya ketika dia masih hidup lagi. Dan nenek pun tidak pasti samada kisah yang dia dengar ini adalah kisah benar atau dongeng. Wallahuaklam.

Buah pauh. Foto oleh nazzim-elinazz's.

Tulisan Incung Kerinci Kuno

Friday, June 19, 2009

Suara Hati Uhang Kincai

Gunung Tertinggi Di Sumatera

Tahukah anda... Gunung Kerinci merupakan gunung tertinggi di Sumatera dengan ketinggian 3.805 m dari permukaan laut. Gunung ini mempunyai banyak misteri dan keunikan yang merupakan gunung api tertinggi di Indonesia yang masih aktif. Luas kawasan yang dimiliki berukuran ± 580 m x 600 m dengan kondisi air sawah yang berwarna hijau kekuning-kuningan, suhu terendah diatas puncak gunung mencapai 5°C. Pada hari kemerdekaan Republik Indonesia pada tanggal 17 Agustus dan pada hari libur pendidikan nasional banyak dikunjungi oleh pendaki-pendaki gunung.
Untuk mencapai puncak agunung Kerinci di perlukan waktu 8-10 jam dengan pemberhentian (selter) sebanyak 4 buah. Sesampainya di puncak gunung ini akan terlihat panorama alam yang menakjubkan, indah dan menarik. Untuk mencapai Kerinci dari kota Sungai penuh harus menempuh jarak lebih kurang 49km.




Rujukan : http://kerinci.info

Kenapa Malu Mengaku?

Baru-baru ini saya telah menghadiri majlis perkahwinan adik kepada kawan lama (Amran Ahmad) di Kampung Dagang Setia, Kuala Kubu Bharu. Kemudian jirannya Kakak Halimaton telah mempelawa kami ke rumah mereka yang tidak berapa jauh dari situ.
Hajah Amanah binti Haji Zamzam, emak Kakak Halimaton yang berumur 84 tahun. Sungguhpun umur sudah banyak tetapi masih kuat pendengarannya. Selain dari itu ninu (nenek) nampak sihat cuma sakit lutut sahaja sebab itu guna kerusi roda. Bila ditanya apa rahsia ninu nampak macam awet muda. "Tak ada apa-apa rahsia... cuma istiqomah solat malam". Kini ninu ada 16 cucu dan 3 cicit.



Saya berbual mengenai cerita-cerita lama dengan Kak Halimaton.
“Masa sekolah dulu ada tak kawan-kawan ejek kalau diberitahu kakak orang Kerinchi,” Tanya saya. “Ada… tu lah sebabnya malu hendak mengaku kita keturunan kerinchi”, jawab Kak Halimaton.
“Ohh… samalah macam saya. Bila saya mengaku saya keturunan kerinchi, kawan-kawan semua ketawakan saya… mereka kata saya ada ekor. Bila saya jawab mana ada ekor… mereka kata, "Ya… keturunan kamu ada ekor, Semenjak hari itu, saya pun malu hendak memperkenalkan saya orang Kerinchi” cerita saya.
Inilah sekolah tempat saya menuntut ilmu dulu. Masih macam dulu dan tidak banyak perubahan.

Berbalik pasal apa yang saya dapat daripada menghadiri Mesyuarat Persatuan Anak Kerinchi Hulu Selangor. Alhamdulillah saya rasa barulah terbuka sedikit fikiran saya, betapa pentingnya menjaga maruah keturunan kita.
“Buat apa saya hendak malu dengan keturunan saya… sebenarnya orang Kerinchi adalah satu bangsa yang berjaya suatu masa dahulu. Kegigihan nenek moyang kita maka wujudlah tempat-tempat yang dikenali Kampung Kerinci, Kampung Abdullah Hukum, Hulu Langat dan banyak lagi, Sesungguhnya segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjungi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang nenek moyang kita terdahulu.” detik hati saya.
Insya-Allah mulai hari ini saya akan cuba mengumpul sebanyak mungkin maklumat mengenai Kerinchi… dan hendak selidik juga kenapa dikatakan orang kerinchi ini ada ekor.

*Kisah Benar
Seorang pembaca telah menghantar yahoo messenger kat saya, "kenapa kamu direct sangat cakap pasal Kerinchi?" "Kenapa?" saya bertanya pula? "Tidak malu ke... nanti orang kata bukan-bukan. Kami di sini pun kalau ada kenduri kendara malu nak mengaku orang kerinchi sebab nanti akan diketawakan orang," katanya lagi. "Oh macam tu ke?" "Sebenarnya asalnya saya memang malu juga.... tetapi entah kenapa saya rasa sudah tiba masanya kita kena berani kedepan untuk menyangkal anggapan buruk tentang orang kerinchi", jawab saya lagi.