Sunday, April 25, 2010

Lupa Satu Keperluan

Suatu hari saya mendapat panggilan.
“Tolong jangan siarkan gambar arwah samada dalam facebook, blog dan mana-mana medialah”.
“Kenapa?” saya bertanya.
“Demi kebaikan keluarga si mati… sekadar untuk bantu mereka untuk melupakan daripada teringakan arwah.

“Ya… bukan mudah untuk melupakan orang yang kita sayangi,” detik hati saya.
Teringat saya dengan buku tulisan Ustaz Zul Ramli M. Razali bertajuk U_TURN KE JALAN LURUS. Berulang kali saya baca mukadimahnya yang bertajuk “Lupa Satu Keperluan”.



Cuba baca secebis kisah ini.
Ketika sesi perbincangan kumpulan dalam satu kursus seorang sahabat apabila ditanya tentang peristiwa paling sedih dalam hidupnya, dia bercerita;
“Suatu petang pada tahun 1999 setelah habis sesi pengajian petang di universiti, saya dipanggil ke pejabat, ada panggilan telefon untuk saya. Wajah kerani yang menyambut panggilan itu kelihatan gugup.
“Di hujung talian, saya dapati suara abang yang memberitahu dengan nada bergetar, serta dengan kesedihan bersama tangisan perlahan…. Ibu telah meninggal dunia.
“Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana gawat badai dalam hati saat itu….
“Wajah ibu bermain di ruang mata. Bulan lepas ketika saya bersalam dan itu salam terakhir saya dengan ibu. Ibu mencium saya lebih lama daripada biasa… itu saya masih ingat. Saya mencium dan memeluknya dengan girang tetapi segera ingin berangkat, banyak yang perlu diselesaikan di universiti….
“Hati saya berkata, kenapa tidak lebih lama menampung kasih sayangnya.

“Apabila pulang ke kampung, saya dapati tubuh ibu telah diselimuti kain putih. Saya meluru mencium ibu semahu-mahunya tapi ibu hanya terkujur kaku dengan wajah lesi dan mata terpejam rapat. Dia tidak mendengar pun esak tangis saya yang pilu…

“Dada saya hampir pecah membayangkan perpisahan ini..”
Dia menghabiskan cerita dukanya. Kami berkongsi air mata. Saya bertanya kepadanya, kenapa hari ini anda tidak lagi menangis? Adakah kasih sayang terhadap ibu telah luntur? Siapakah yang telah mengambil ruang kasih sayang ibu?

Jawapannya tentu tidak! Sayang masih membara dan tiada siapa yang mampu mengisi ruang kosong itu. Pasti! Tetapi kenapa hal ini tidak seperti petang gawat tahun 1999 itu?

Sebabnya adalah kerana manusia punya sifat lupa. Cuba bayangkan andainya sifat ini tiada. Ingatan dan kesedihan terhadap kematian ibu benar-benar segar, tiba-tiba datang pula berita meninggalnya bapa atau kegawatan lain dalam hidup. Bagaimana manusia boleh mengharungi hidup dalam situasi sedemikian? Bagaimana dada mereka tahan untuk menanggung semua ini.
Atas alasan ini, manusia dibekalkan dengan sifat lupa. Lupa bagi manusia satu keperluan

Saturday, April 24, 2010

Allah Berkatilah Umur Ayahandaku...

24 April 2010 - Hari ini merupakan hari lahir ayahandaku yang tersayang yang ke-74. Semoga ayahanda dikurniakan kesihatan yang baik. Mudah-mudahan dengan nikmat kesihatan itu... dapatlah ayahanda menambah ilmu, menambah amal,mengeratkan silahturrahim, menambahkan sedekah dan beribadah kepada-Nya. Amin.








ENGKAU BAPAKU

Ayahku!
Hari ini aku coretkan sebuah naskhah cantik buatmu
tanda syukur tak terbanding terhadap Ilahi
kerana kaulah kami lahir di sini…

Ayahku!
Engkau adalah legasi seorang khalifah tersohor di muka bumi
amanah warisan seorang lelaki bernama Adam a.s
hanya Dia Yang Maha Tahu
kenapa kelompokmu dipilih memimpin kami!

Ayahku!
Bukankah kerana sempurna maka Adam dilantik?
maka sempurnakanlah tanggungjawabmu seperti mana
hebatnya Adam memimpin dunia…
kerana kamilah anak-anak jiwa merdeka
yang sentiasa berusaha membalas jasa
seorang lelaki bernama ayah!

Ayahku!
Mengertilah dikau bahawa sesungguhnya kami amat bangga
menjadi anak yang punya bin di hujung nama
tanda nama itu amanah penjaga kami
menjadi pelengkap di hadapan Ilahi

Ayahku!
Usah kau nafikan hak kami
sebagai amanah yang mesti kau bela belai berseni
hadir kami adalah titipan Rabul Izzati
ke atas kedua pundakmu untuk dijagai selalu.

Ayahku!
Walau terkadang waktu kau sukar menterjemahkan sayang
namun reaksi itu sudah kami maklumi berabad lalu
andai dalam hati masih tergumpal rasa mesra
luahkanlah agar kami tahu sebenarnya kau adalah
lelaki terbaik dalam lingkungan kami!

Ayahku!
Mengertilah bahawa engkaulah lelaki
yang sentiasa bertakhta di sanubari
asbab cinta kasihmu bersama ibu
lantas kami pun lahir dewasa di sini
kaulah pembimbing awal dan akhir
sehingga kekal bersemadi
di syurga yang kekal abadi!


Sajak Anis Jun 2008





Monday, April 5, 2010

Amir dalam kenangan...













Tuesday, March 30, 2010

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2010

Tahun ini 856 gerai pameran di pesta buku,
Berlangsung selama sepuluh hari,
Penanda aras kemajuan industri buku,
Buku, Lakaran Masa Hadapan tema diberi.




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur nama diberi,
Pameran terbesar Malaysia setakat ini,
Buku, Lakaran Masa Hadapan tema diberi,
Dinobatkan di Malaysian Book of Records dimasa kini.



Belilah buku di pesta buku,
Kalau hendak banyak diskaunnya,
Majulah Malaysia wahai negaraku,
Semaraknya bangsa kerana tinggi ilmunya.



Kepesta buku membeli buku,
Menerap tabiat mencintai ilmu,
Generasi berilmu impian pemimpinku,
Dibina tamadun mengamalkan budaya ilmu.



Simpan buku setelah dibaca,
Simpan untuk dijadikan rujukan,
Nadi Ilmu Amalan Membaca,
Program NILAM telah diperkenalkan.



Simpan buku untuk rujukan,
Melalui pembaca yang berterusan,
Tabiat membaca perlu dibudayakan,
Mebentuk amalan modal insan.



Ilmu umpama lampu yang terang,
Menyuluh dan mendidik setiap jiwa,
Mulia tugasmu wahai si pengarang,
Karang buku yang mendidik jiwa.



Masyarakat berilmu jadi pewaris,
Dalam membentuk sebuah generasi,
Karang buku yang kretif dan dinamis,
Melahirkan masyarakat progresif dan berinfomasi.




Ilmu umpama lampu yang terang,
Menyuluh dan mendidik setiap jiwa,
Mulia tugasmu wahai si pengarang,
Karang buku yang mendidik jiwa.



Pesta buku menganjurkan,
Peraduan pantun difacebooknya
Hadiah buku memang dihajatkan
Mudah-mudahan dimakbulkannya.