Suatu hari saya mendapat panggilan.
“Tolong jangan siarkan gambar arwah samada dalam facebook, blog dan mana-mana medialah”.
“Kenapa?” saya bertanya.
“Demi kebaikan keluarga si mati… sekadar untuk bantu mereka untuk melupakan daripada teringakan arwah.
“Ya… bukan mudah untuk melupakan orang yang kita sayangi,” detik hati saya.
Teringat saya dengan buku tulisan Ustaz Zul Ramli M. Razali bertajuk U_TURN KE JALAN LURUS. Berulang kali saya baca mukadimahnya yang bertajuk “Lupa Satu Keperluan”.
Cuba baca secebis kisah ini.
Ketika sesi perbincangan kumpulan dalam satu kursus seorang sahabat apabila ditanya tentang peristiwa paling sedih dalam hidupnya, dia bercerita;
“Suatu petang pada tahun 1999 setelah habis sesi pengajian petang di universiti, saya dipanggil ke pejabat, ada panggilan telefon untuk saya. Wajah kerani yang menyambut panggilan itu kelihatan gugup.
“Di hujung talian, saya dapati suara abang yang memberitahu dengan nada bergetar, serta dengan kesedihan bersama tangisan perlahan…. Ibu telah meninggal dunia.
“Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana gawat badai dalam hati saat itu….
“Wajah ibu bermain di ruang mata. Bulan lepas ketika saya bersalam dan itu salam terakhir saya dengan ibu. Ibu mencium saya lebih lama daripada biasa… itu saya masih ingat. Saya mencium dan memeluknya dengan girang tetapi segera ingin berangkat, banyak yang perlu diselesaikan di universiti….
“Hati saya berkata, kenapa tidak lebih lama menampung kasih sayangnya.
“Apabila pulang ke kampung, saya dapati tubuh ibu telah diselimuti kain putih. Saya meluru mencium ibu semahu-mahunya tapi ibu hanya terkujur kaku dengan wajah lesi dan mata terpejam rapat. Dia tidak mendengar pun esak tangis saya yang pilu…
“Dada saya hampir pecah membayangkan perpisahan ini..”
Dia menghabiskan cerita dukanya. Kami berkongsi air mata. Saya bertanya kepadanya, kenapa hari ini anda tidak lagi menangis? Adakah kasih sayang terhadap ibu telah luntur? Siapakah yang telah mengambil ruang kasih sayang ibu?
Jawapannya tentu tidak! Sayang masih membara dan tiada siapa yang mampu mengisi ruang kosong itu. Pasti! Tetapi kenapa hal ini tidak seperti petang gawat tahun 1999 itu?
Sebabnya adalah kerana manusia punya sifat lupa. Cuba bayangkan andainya sifat ini tiada. Ingatan dan kesedihan terhadap kematian ibu benar-benar segar, tiba-tiba datang pula berita meninggalnya bapa atau kegawatan lain dalam hidup. Bagaimana manusia boleh mengharungi hidup dalam situasi sedemikian? Bagaimana dada mereka tahan untuk menanggung semua ini.
Atas alasan ini, manusia dibekalkan dengan sifat lupa. Lupa bagi manusia satu keperluan
2 comments:
salam
yup..if xde sifat lupa mesti kita x kan tabah utk hadapi hidup ini.. =)
salam,
Betul kata gooseberries.
Post a Comment